The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Brendan: Pemain Muda Tambah Kestabilan Pasukan

May 09, 2021 - FAS

Selangor FC akan meneruskan pusingan kedua kejuaraan Liga Super 2021 malam ini menentang pasukan gergasi Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 10 malam.

Untuk rekod, sewaktu pusingan pertama, pasukan Sang Penyu meraih kemenangan di laman sendiri semasa menentang Gergasi Merah dengan keputusan 3-1.

Karsten Neitzel, Ketua Jurulatih Selangor FC tidak mahu melihat perkara lalu terus menghantui pemain-pemainnya, namun beliau sedia maklum dengan kelebihan yang dimiliki oleh pasukan Pantai Timur tersebut dan percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya, biarpun kehilangan khidmat beberapa tonggak penting ekoran kecederaan.

"Kekalahan sebelum ini bagi saya adalah perkara yang dah berlalu. Tidak dinafikan mereka merupakan pasukan yang bagus dan sangat berdisiplin. Namun, saya percaya kita sudah membuat persiapan yang cukup untuk perlawanan malam ini," jelas Karsten.

"Walaupun terdapat beberapa kecederaan dan penggantungan pemain tonggak berlaku, pemain yang sedia ada juga mampu berada dalam kesebelasan utama. Saya yakin dengan mereka dan kita perlu berikan yang terbaik dan memperoleh 3 mata berharga ini," tambahnya.

Malam ini dua lagi pemain Selangor 2 akan disenaraikan dan berkemungkinan besar akan membuat penampilan pertama bersama pasukan utama Gergasi Merah. Mereka adalah Shivan Pillay, pemain tengah pertahanan merangkap Kapten Selangor 2 dan Saiful Iskandar, pemain sayap.

Brendan Gan, ketua pasukan Selangor FC melihat kemasukan pemain-pemain muda dalam pasukan utama telah menambah kestabilan pasukan dengan aksi baik yang dipamerkan mereka.

"Kesemua pemain muda yang dinaikkan dari pasukan Selangor 2 sangat mengagumkan bagi kami (pemain senior). Ini merupakan kelebihan apabila kita memiliki pasukan pembangunan yang mampu berikan persembahan yang baik bersama," ujar Brendan.

"Akan tetapi, pemain berpengalaman mesti membimbing mereka dan memastikan mereka fokus pada setiap perlawanan. Ini adalah kunci utama bermain dengan bakat muda.”

"Dalam bilik persalinan, saya telah beritahu mereka, saya tidak melihat mereka sebagai pemain muda lagi, mereka sudah menjadi sebahagian daripada pemain pasukan utama, jadi mereka perlu berusaha untuk membuktikan mereka berhak berada di pasukan utama," jelas kapten Selangor FC itu lagi.

Bagi keberadaan pemain, Gergasi Merah kehilangan khidmat penyerang prolifik tempatan, Shahrel Fikri kerana mengalami kecederaan di bahagian dalam pergelangan kaki semasa menentang Sri Pahang FC baru-baru ini.

Selain itu, Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), Halim Saari (ACL), Wan Zack Haikal (kecederaan lutut kanan), Tim Heubach, Hakim Hassan (kecederaan buku lali) dan Safuwan Baharudin tidak dapat diturunkan atas faktor kecederaan.

Pemain pertahanan tengah muda Selangor, Sharul Nazeem juga tidak dapat disenaraikan kerana menjalani penggantungan setelah dilayangkan kad merah sewaktu menentang pasukan Sri Pahang FC pertengahan minggu lalu.

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-5 dengan 19 mata terkumpul hasil dari lima kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan, manakala Terengganu FC pula di tempat ke-2 liga.

Kemenangan pada malam ini akan memastikan Selangor FC naik ke tangga ke-4 liga, memintas kedudukan Penang FC dengan hanya dibezakan dengan jaringan gol.

Semoga tiga mata penuh berjaya diraih Selangor FC pada malam ini untuk merebut kedudukan yang lebih baik dalam carta liga. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan.